Tuesday, April 9, 2013

Harapan Hari Esok

Tuhan,

Aku menangis lagi di sejadah. Meratap kebodohan silam. Mengenang betapa aku mudah percaya janji hamba, dan lupa bahawa Yang Maha Kekal itu hanya Kau dan janji Mu.

Mungkin aku belum sampai ke dasar kolam dosa. Belum hanyut. Tapi aku masih kesal. Sesungguhnya betapa manusia alpa dengan keindahan dunia yang belum tentu pahit manis kesudahannya.

Tuhan,

Aku tidak mahu Kau putus harapan padaku. Aku mahu terus kau sorongkan kekesalan seperti ini. Aku rindukan air mata taubat ini. Jangan sesekali kau tarik nikmat ini ya Tuhan. Aku mahu sentiasa ingat pada Mu. Aku ingin sentiasa mohon keampunan Mu.

Sekiranya nanti Kau kurniakan aku pengganti, aku tidak mohon yang sempurna. Aku mohon yang biasa-biasa sahaja buat pengubat jiwa, membahagiakan setiap sudut kamar hatiku yang suram.

Aku mohon kepada Mu ya Tuhan,

Dia yang memandang aku dengan kasih dan belas. Menerima perbezaan sebagai cerita cinta yang bermuka surat tebal, tidak jemu mencari persamaan setiap hari dalam hidup berdua yang halal.

Aku mahu dia ya Tuhan. Yang aku boleh pandang tinggi sebagai imam. Memikul harapanku dalam impiannya. Membawa kasih sayangku dalam segala tindakannya; sentiasa ingat padaku, sentiasa menghargai cintaku.

Ya Tuhan,

Sekiranya dia bersama orang lain, selesaikanlah cerita mereka dahulu. Agar aku tidak membina kebahagiaan atas air mata wanita itu.

Kerana aku pernah jatuh tersungkur, bagi menyokong impian orang lain dan sakitnya ya Tuhan, sumpah atas nama cintaku, aku tidak mahu wanita lain merasakan sakit begitu.

Terimalah pengharapan dan penyerahanku. Hanya Kau tempat aku memohon. Hanya pada Mu kebergantunganku yang perdana.

Maisarah Atan
KTM KL Sentral - Rawang

Saturday, March 30, 2013

Kebenaran Menangis

Pertama kali aku diberi kebenaran untuk menangis tanpa dihukum cengeng. Jujurnya aku terpempan. Susah nak percaya.

"Menangis bukan satu tanda kelemahan."

Hipokrit. Berkali-kali aku mendengar "Alah itu pun menangis." Berkali-kali aku diberitahu kiranya aku nangis, aku kalah. Tapi malam ini aku dapat sudut pandang baru.

Kesengsaraan dan tangisan itu adalah proses untuk manusia jadi kuat. Setelah tangisan berhenti, kita akan jadi manusia baru, dengan tenaga baru. Aku tertarik dengan idea ini.

Perempuan pantang menangis. Kelak dicemuh konon emosi, dan terus hilang suara. Lelaki pantang juga mengalirkan air mata. Kelak dituduh dayus, dan hilang jantan.

Bullshit. Kalau hina benar mengalirkan air mata masakan tidak berdosa menangis (kecuali meratap).

Kawan yang seorang ini, harap kau pegang janjimu untuk tidak menghakimi aku. Sebab aku masih gadis yang sama. Walaupun frekuensi menangis lebih daripada semasa aku jumpa kau buat kali pertama.

Aku masih sama; kuat dan (ehem) bijak. Terima kasih, kerana menghalalkan aku menangis. Asalkan aku tidak lupa untuk ketawa.

Kah kah kah.

Friday, March 29, 2013

Tak Kenal Maka Tak....

Sejak akhir-akhir ni aku jumpa sebuah buku baru. Buku ni agak tebal berbanding buku yang aku jumpa sebelum ni. Buku ini mesra bahasanya. Aku baca baris demi baris. Anehnya, di akhir setiap bab meninggalkan aku dengan perasaan yang berbunga-bunga dan kagum

Ini bukan entri jiwang.

Sebelum ini tidak pernah aku cuba buka buku ini kerana aku berkomitmen dengan buku lain. Buku yang itu sangat "captivative"; bukan kerana lenggok bahasanya, tapi kerana isinya yang menekan.

Buku yang aku maksudkan adalah seorang kawan yang aku jumpa kira-kira 2 tahun lepas. Tapi aku jumpa hanya sekali di majlis ilmu. Berbual cuma sebaris.

"Simpanlah buat kenangan." Dan siapa tahu, memang dia jadi signifikan dalam hidupku sekarang.

Ini bukan entri jiwang.

Kawan yang ini berbeza dengan orang lain yang pernah aku jumpa. Jujurnya memang aku kagum. Bukan sahaja dia hidup kerana dirinya sendiri, dia tidak kisah pun kiranya orang lain tidak menerima. Paling aku suka, setiap detik hidupnya dimanfaatkan baik-baik.

Aku selalu bercakap tentang keberanian. Tapi sejak aku kenal dia, aku rasa aku hipokrit. Cakap je berani tapi keputusan kecil pun buat aku tak tidur malam.

Hanya pernah sekali aku bertegas dalam hidupku. Semasa aku melepaskan buku yang menekan itu. Aku jual di kedai buku lama. Biar orang lain yang menanggung bebannya. Aku sudah tidak mahu. Tapi itupun kerana desakan maruah.

Aku perlu berani untuk bahagia.

Dan buku baru ini yang mengajar aku bahawa bukanlah satu dosa kiranya kita memilih sesuatu yang luar daripada kebiasaan untuk sesuatu yang kita suka.

Tak kenal maka tak kawan. Aku gembira dapat kenal kau, wahai buku tebal yang tak ada dijual di Big Bad Wolf.

Semoga aku lebih berani selepas ini/

Thursday, March 28, 2013

Pertanyaan Karut

Pada yang belum tahu dan berniat untuk bertanya, saya NAK nikah tahun ni, cuti sekolah bulan November. Dengan siapa?

Pertanyaan karut ni memang popular ditanya kepada dua kategori perempuan: 1. berusia 25 tahun dan ke atas; dan 2. sudah mempunyai calon.

Mula-mula aku tak kisah sangat. Dah penat nanti berhenti lah diorang. Tapi tekaan aku silap. Soalan itu memang ongoing dan takkan berhenti sehingga kita nikah.

Walau apa pun alasan di sebalik pertanyaan ini, ia masih soalan karut.

Jadi dengan siapa? Yang tu saya belum putuskan. Tapi kalau tanya bila NAK nikah, itulah jawapannya.

Friday, March 22, 2013

Tak Takut?

Melihat kepada terlalu banyak pengkhianatan berlaku, daripada dalam kalangan makcik-makcik gigih cuba memonopoli market Nasi Lemak, kepada yang berskala besar, terdetik pertanyaan ini. Tak takut ke?

Tiada manusia yang dilahirkan jahat. Setiap tindakan dan pembentukan karakter pasti ada sesuatu yang "trigger" atau jadi penyebab. Pasti ada motifnya. Pasti ada sesuatu yang menggerakkan seseorang itu sehingga dia bertindak di luar tahap kemanusiaan normal.

Joloklah pertanyaan kepada semua manusia bergelar penceramah motivasi, ustaz ataupun sesiapa sahaja "wise man" yang anda dapat cari. Kalau masih ada agama, semua akan "preach" bahawa kita hidup adalah untuk mati.

Tak pernah aku dengar orang yang mempunyai agama tidak percayakan dosa pahala syurga neraka. Walaupun ada yang percaya "reincarnation" (hidup kembali) tapi masih lagi percaya setiap perbuatan ada hukuman.

Aku Muslim. Maka lebih lagilah aku percaya. Tadi pun Ustaz yang bagi Kuliah Zuhur cakap kita hidup 2 kali dan mati sekali. Mati sekali selepas hidup di dunia, bangkit semula pada hari kiamat, dan hidup selamanya dalam syurga atau neraka, terpulang kepada timbangan.

Jadi orang yang tak takut ni apa? Tak ada Tuhan? Atau ada Tuhan dan Tuan? Bertuhankan yang satu, bertuankan banyak. Apa?

Friday, March 15, 2013

Cermin

Kenapa kita suka cari salah orang? Kadan-kadang dalam pada kita menyesal kesalahan sendiri, kita pandang orang yang lebih baik dan insaf. Tapi bila dapat sikit keburukan pasal orang tu kita macam men"tidak-apa"kan kesalahan sendiri. Apasal eh?

Kalau orang lain tak sempurna, kita jadi baik ke? Adakah mengetahui dosa orang lain tu buat kita lebih baik? Sebab kita tak buat apa yang dia buat?

Ini semua bullshit.

Manusia selalu macam ni. Untuk menyucikan dosa sendiri, kita palitkan hina pada orang lain. Perihal dosa dan pahala tu bukan ke soal kita dengan Tuhan? Dosa pahala pun Allah yang bagi. Bukan kita dapat daripada jiran sebelah.

Orang yang menyebarkan perkara buruk pasal orang lain selalunya orang yang paling banyak berdosa. Pertama, dosa mengumpat of course. Itu confirm. Tapi kenapa dia suka burukkan orang? Sebab bagi dia, kalau orang lain nampak buruk, dia nampak hebat. Padahal tak pun...

Semuanya dalam fikiran dia je.

Bodoh. Beli cermin. Tengok diri tu puas-puas. Lepas tu fikir. Layak tak kau cakap pasal orang.

Sunday, February 24, 2013

Bukankah Bagus?

Bukankah bagus,
Andai cinta dan harapan itu percuma?
Tanpa syarat.
Tanpa ciri ideal.
Tanpa gadaian karakter.

Mencintai tanpa sebab itu,
lebih manis.
Tidak terusik musim.
Tidak tergugat godaan.
Tidak memalsukan peribadi.
Sederhana.
Berpanjangan.

Maisarah Atan
31 Disember 2012

Pasar Malam

Petang semalam aku ke tempat kegemaran adik. Bukan la dia suka sangat ke sana, cuma akhir-akhir ni dia suka sangat beli popcorn.

Popcorn dalam Bahasa Melayu "bertih jagung".

Popcorn di pasar malam harganya RM2. Di Tesco RM3. Di stesen minyak berdekatan anda, RM3.50 dan ini aku pasti harganya meningkat semakin dekat stesen minyak itu ke airport.

Di TGV Combo A RM9.90 siap dapat regular Coke.

Jadi oleh kerana pasar malam yang paling dekat dengan rumah, kami beli di pasar malam je.

Aku suka ke pasar malam. Tapi bukan untuk beli jam branded pakai buang. Aku suka beli kuih.

Aku suka putu bambu, putu mayam, cakoi, kuih tepung pelita, puteri mandi.. Di pasar malam ni best juga kalau beli nasi kerabu. Tapi kena tengok siapa yg buat. Yang nasi kerabu "wannabe" ni selalunya menghampakan.

Kuih yang 3 RM1 tu pun aku suka beli tapi sebab kuihnya simple macam karipap, kuih keria.. Mak suruh buat sendiri je. Sama juga buah melaka atau cucur badak.

Kebab pun kami suka juga. Dulu di Penang aku beli rangka ayam. Tau rangka ayam? Ayam yang dah bogel isinya tu disalut tepung KFC. Sedap!

Tapi sekarang dah tak suka sebab dia guna minyak recycle. Hambar rasanya. Last-last buat sendiri juga agaknya.

Ada juga makcik-makcik yang jual kek span, cheesecake... Tapi aku tak beli sebab pengendalian yang selekeh.

Bab kek kami memang cerewet sebab semua perempuan dalam rumah ni pandai buat kek.

Jalan-jalan di tapak pasar malam yang berlecak, jumpa lah gerai popcorn. Mamat popcorn ni agak comel. Budak baru abis sekolah.

Popcorn dijual pelbagai perisa. Ada perisa durian, dan ada yang warna merah tu perisa apa agaknya sirap ke strawberry tak ingat.

Tapi Mahfuzah beli yang original flavour je. Teringin nak rasa yang durian tu, tapi takut lah. Kalau tak sedap, parah pulak nak habiskan.

Terima kasih pasar malam, untuk suatu petang yang menggembirakan perut.

Saturday, February 23, 2013

Abah

Semalam Abah hantar aku ke pejabat sekejap. Perjalanan yang panjang cukup untuk aku melihat satu sisi Abah yang semakin jelas.. Abah sudah tua.

Beberapa kali aku kesan Abah mengulang cerita yang sama selang beberapa minit. Dengan semangat yang sama, seolah-olah belum diceritakan sebelum ini. Sayu.

Abah tiada penyakit kritikal. Susuk tubuhnya juga sihat. Tidak obese, tidak pula terlalu kurus. Tapi lupa ingatan ini memang ada dalam keluarga. Arwah Wan juga dulu begitu, dalam tahun-tahun akhir kami bersamanya.

Buat aku tambah sedih.

Sejak kami lahir Abah selalu cuba memberikan yang terbaik untuk aku dan adik-adik. Kami tidak mewah, tapi segala yang kami perlu tidak pernah kurang. Segalanya dilengkapkan.

Abah sangat berhati-hati, dan kadangkala terlalu berhati-hati mengatur kehidupan anak-anak. Semasa aku membesar pernah aku rasa rimas. Dan aku terhantuk sendiri dengan kesalahan-kesalahanku, akhirnya kembali kepada Abah.

Semasa aku dikhianati cinta pertama, sekaligus membatalkan perkahwinan 5 minggu sebelum nikah, aku sangka Abah akan marah. Aku silap.

Abah tidak menempelak, tidak pula memalukan aku dengan sifat protective seorang bapa. Dia melayan (bekas) bakal mertuaku dengan baik. Aku terharu.

Dalam meningkat dewasa, aku banyak salah sangka dengan Abah. Aku rasa terhimpit dengan peraturan dan garis panduannya. Akulah anak yang paling banyak mempersoal, tapi Abah tidak menghukum aku.

Kesilapanku dilihat sebagai proses aku matang, dan Abah sentiasa jadi penyokongku yang paling setia.

Daripada setiap perbuatan bodohku sepanjang meningkat dewasa, aku belajar sesuatu yang bernilai. Walau seganjil mana seseorang bapa atau ibu mendidik, mereka jauh lebih tahu apa yang terbaik untuk anak-anak.

Allah telah kurniakan naluri yang sangat kuat dan gerak hati yang terdorong perasaan sayang, membuatkan setiap tindakan mereka tidak pernah silap.

Dan kita sebagai anak akan nampak. Mungkin bukan sekarang, mungkin bukan hari ini.

Kasih sayang mereka adalah selamanya. Tak terkesan dengan pemberontakan kita. Tak terjejas dengan kebodohan kita.

Wednesday, February 20, 2013

Facebook Yang Celaka

Rasminya aku meninggalkan Facebook bulan Januari baru-baru ini. Rasa bengang dan jemu. Jelak dengan status hipokrit. Semua nampak bagus di media sosial.

Semua pakat nak buat branding. Pakat nak buat ala-ala press release seolah-olah mereka artis. Semua pakat nampak suci di Facebook seolah-olah tempat itu boleh buat kita balik rumah tanpa dosa walaupun hakikatnya tidak. 

Walaupun aku sedar aku mungkin terpaksa kembali ke Facebook. Mungkin tuntutan kerja. Mungkin market survey untuk blog content ataupun apa saja alasannya. Setidak-tidaknya aku jujur meluahkan, yang aku sangat benci Facebook.

Segala dengki khianat dosa celaka banyak bermula di Facebook. Keruntuhan rumahtangga juga di-trigger di Facebook. Seolah-olah manusia sekarang bodoh dan cepat terpukau. Teknologi sedikit pun boleh bikin kacau. Macam mana nak maju?

Suatu hari nanti bila aku kembali ke Facebook, aku tidak akan buat sesilapan yang sama lagi. 

Monday, February 11, 2013

I'm Back :)

Assalamualaikum! :) I'm back, after 3 years without posting on this blog. Tiba-tiba rindu, dan tiba-tiba rasa macam dah lama sangat tak menulis secara laid-back macam ni. Untuk pengetahuan semua, saya juga menulis di Ruffles and Cheesecake. Sama juga macam di sini, cuma di sini lebih nostalgik :)

Another project of mine, MAISARAH ATAN: still not your girl next door. Tapi blog ini hanya fokus pada beberapa tajuk. 30% siap. Banyak post kena review dan re-publish. Tengoklah kalau fokus akan siap cepat. 

Godek-godek blog lama, ternampak post yang satu ni. Sajak. Ditulis pada April 2009. Tak pernah publish, for some reasons. Enjoy! :)

P.s: I'm back! ♥

"dia cute tak?"
budak itu sering ditanya soalan demikian.
tapi tak sapa tau realitinya;
budak tu tak kisah pun.
asal DIA cukup memahami budak itu.
bersabar bila budak itu mengada2 mintak perhatian.
terutama pada hari2 penat.
dan hari game.
mendengar jika budak itu mengeluh.
bila bola lebih dapat perhatian.
dan budak itu cemburu. 
memberi semangat budak itu bangun setiap hari2.
dan mengetahui dia diingati malam tadi.

dengan semua ini,
masakan budak itu masih kisah.
DIA cute ke tidak.. 
:)